Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita memperkasakan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu
Wata’ala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya,
di dunia mahu pun di akhirat.
Pada hari ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk:
“Kecelakaan Riba’ dan kesannya dalam kehidupan”.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah ,
Ayat ke 130 dalam surah Ali ‘Imran yang dibacakan pada Awal khutbah tadi membawa maksud:
“Wahai orang-orang yang beriman!, janganlah kamu makan atau
mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa
kepada Allah supaya kamu berjaya” .
Takrif riba’ secara istilah bermaksud: “Penambahan nilai ke atas
sesuatu pinjaman yang disyaratkan oIeh pemberi pinjaman atau dijanjikan
oIeh penerima pinjaman. Manakala dalam pertukaran sesetengah barangan
dan mata wang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza
atau pun perbezaan waktu pertukaran.
Riba’ bukan sahaja dilarang dalam Islam, tetapi juga telah diharamkan
di dalam agama-agama Samawi yang lain. Islam amat tegas menegah amalan
riba’. Islam memandang riba’ sebagai amalan yang keji dan tergolong
sebagai salah satu dosa besar. Islam menolak segala bentuk amalan riba’.
Justeru, Allah Subhanahu Wata’ala telah memberi peringatan kepada
orang yang beriman, supaya menjauhi amalan riba’ dan seterusnya
mengisytiharkan perang kepada pemakan riba’.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah itu 278 – 279 yang berbunyi:
“Wahai orang-orang yang beriman!, hendaklah kamu bertakwa kepada
Allah dan menjauhi saki-baki riba’ (yang masih ada pada orang yang
berhutang )itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu
tidak mahu melakukan (perintah mengenai larangan riba’ itu), maka
ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu (akibatnya
kamu tidak akan selamat)”.
“Dan jika kamu bertaubat (menghentikannya), maka hak kamu (yang
sebenarnya) ialah modal pokok harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu
tidak menganiaya (kepada sesiapa) dan kamu juga tidak teraniaya” .
Jika kita mengamati setiap Firman Allah yang terkandung dalam
Al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah Subhanahu Wata’ala tidak pernah
mengisytiharkan perang kepada seseorang melainkan hanya kepada
pemakan-pemakan riba’. Cukuplah ayat tersebut menjadi bukti bahawa
betapa dahsyatnya dosa riba’ di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Rasulullah s.a.w. dengan tegaskan, mengeji amalan berunsurkan riba’.
Sebuah hadith daripada Saiyidina Jabir Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud:
“Rasulullah s.a.w. melaknat pemakan
riba’, wakilnya, penulisnya, dua orang saksinya. Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Kesemua mereka itu sama sahaja” .
(Riwayat Muslim) .
Rasulullah s.a.w. dengan kerasnya mencela
orang yang terlibat dengan amalan riba’. Mereka adalah golongan yang
menekan dan menindas para peminjam. Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa buruknya kegiatan riba’ tersebut.
Sesetengah orang menyangka, bahawa harta yang haram itu adalah hasil
daripada kerja mencuri atau merompak sahaja. Mereka lupa bahawa harta
yang dihasilkan daripada riba’ juga adalah haram. Lebih dahsyat lagi,
apabila orang yang bergelumang dengan amalan riba’ menganggap jual beli
dan riba’ adalah sama sahaja. Begitu juga, antara amalan “Perbankkan
Konvensional” dengan amalan “Perbankkan Islam” mereka menganggap sama
sahaja, sedangkan Allah Subhanahu Wata’ala hanya menghalalkan
perniagaan, tetapi tidak menghalalkan riba’. Firman Allah Subhanahu
Wata’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 275:
“Mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama
sahaja seperti riba’, pada hal Allah telah menghalalkan jual beli
(berniaga) dan mengharamkan riba’ ” .
Muslimin yang dirahmati Allah,
Umat Islam di Malaysia umumnya mengambil berat soal halal dan haram
dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini prihatin terhadap
pemakanan yang dimakannya agar tidak mengandungi elemen-elemen haram
yang ditegah oIeh syarak dan menjejaskan keberkatan. Namun satu
persoalan yang perlu diberi perhatian ialah apakah penglibatan itu
memadai sekadar mengambil berat tentang barangan makanan bertanda halal,
tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan
perolehan yang haram?. Sejauh manakah kesedaran persoalan halal dan
haram ini turut dikaitkan dengan sumber pendapatan yang diperolehi?.
Berdasarkan keadaan ini, mereka secara sengaja mengumpul pendapatan dan
kekayaan daripada pelbagai aktiviti yang ditegah oIeh syarak seperti
memakan riba’, menerima rasuah, pecah amanah, memeras-ugut, merompak,
melacur, menjadi G.R.O. dan sebagainya.
Mereka juga tidak menitikberatkan ke mana wang mereka dibelanjakan
seperti pinjaman perumahan, kereta dan pinjaman peribadi semuanya
berkisar di dalam sistem yang berteraskan riba’. Bahkah ada di kalangan
mereka yang pergi menunaikan ibadah haji dan ‘umrah menggunakan wang
yang diperolehi daripada hasil riba’. Manakala bagi mereka yang terlibat
dalam bidang perniagaan pula, selalu menitikberatkan soal halal di
dalam perniagaan yang ingin dilakukan, tetapi langsung tidak
menghiraukan dari mana sumber modal yang ingin diperolehi sehingga
sanggup membuat pinjaman yang berteraskan riba’. Begitu juga ada
sebilangan dari mereka yang bersedekah dan mengeluarkan zakat juga
menggunakan dari hasil riba’ yang mana pada hakikatnya, semua amal
ibadah tersebut tidak diterima oIeh Allah Subhanahu Wata’ala.
Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Orang yang terlibat dengan riba’ akan dicabut keberkatan dalam
hidupnya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah ayat
276 :
“Allah menghancurkan riba’ (dengan mengurangkan atau melenyapkan
keberkatan-Nya) dan menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan
mengembangkannya serta melipat-gandakan pahalanya). Allah tidak
menyukai setiap orang yang ingkar (yang menghalalkan riba’) lagi banyak
melakukan dosa”.
Bagaimana memperolehi keberkatan dalam hidup, jika kehidupan berbaur
dengan amalan riba’?. Apakah kita tidak terfikir, bahawa harta yang
diperolehi daripada pendapatan yang haram seperti riba’, pasti tidak
akan mendatangkan keberkatan?.
Selain itu, jika kita melihat dan merenung sedalam-dalamnya, kepada
situasi dunia dan keadaan alam, yang sentiasa dihujani dengan pelbagai
musibah dan bencana alam, memberi keyakinan kepada kita, bahawasanya,
ini adalah merupakan peringatan Allah Subhanahu Wata’ala. Hukuman
kealpaan dan kecuaian kita dalam melaksanakan perintah dan suruhan-Nya
serta meninggalkan segala larangan-Nya. Renunglah sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila riba’ dan zina menjadi-jadi
di sesebuah kampung (negeri), maka sesungguhnya, mereka telah
membenarkan mereka itu diazab oIeh Allah” .
(Riwayat Hakim dan Abu Ya’la) .
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menurut Syeikh Abdul Aziz, Asy-Syeikh Mufti Besar Arab Saudi
menyatakan bahawa krisis kewangan sejagat yang dialami ketika ini,
berpunca daripada sikap mengabaikan peraturan Allah dan membenarkan
amalan riba’ yang diharamkan oIeh Islam. Dalam masa yang sama, masalah
ini telah membuka mata masyarakat dunia, kepada potensi sebenar
kejayaan Sistem Kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia, dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia, dalam menangani Kemelesetan Ekonomi.
Kini, adalah masa dan medan terbaik buat negara-negara Islam dan
umatnya memperkukuh struktur dan produk Kewangan Islam serta
mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utamaKaedah Pemulihan Ekonomi Dunia. Pertumbuhan sebanyak 15% setahun Sistem Perbankkan Islam,
mencerminkan ia bakal menjadi peneraju Pasaran Kewangan Antarabangsa,
dengan ciri-cirinya yang tersendiri, menyaingi Sistem Kewangan Barat.
Sistem Kewangan Islam bersifat lebih adil kepada pelabur dan pengusaha,
di samping mampu melindungi sistem kewangan itu, daripada krisis
kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang ini.
Pada hakikatnya, Sistem Kewangan Kapitalis, yang bertunjang dan
berkiblatkan Sistem Amalan Riba’ sedang menuju kemelesetan dan
pendukungnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam
sejarah. Ianya membuka peluang kepada Sistem Kewangan Islam untuk
diterjemahkan kepada masyarakat dunia. Ini kerana Islam sangat
mementingkan kesejahteraan umat dan tetap memerangi segala bentuk sistem
atau struktur yang berteraskan riba’, yang memudharatkan kehidupan
manusia.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Mimbar hari ini juga, ingin menarik perhatian para jamaah kepada satu
kegiatan dalam Sistem Ekonomi Barat, yang bergerak dalam masyarakat
hari ini, iaitu “Ceti Haram”. Ceti haram seperti Ah
Long adalah agensi yang bergerak secara aktif, menipu dan memperdaya
orang ramai dengan tawaran pinjaman, dengan mengenakan bunga yang
berganda. Terdapat Ceti Haram yang telah menyalahgunakan Lesen Meminjam
Wang dan kadar bayaran yang dikenakan kepada peminjam melebihi 18%
setahun. Merujuk kepada Laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
terdapat 1,600 kes Ceti Haram direkodkan, dalam tempoh kurang dari dua
tahun, di mana mereka memperolehi pendapatan sebanyak RM 12 juta sehari.
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di negara kita, banyak terdapat Institusi Kewangan yang menjalankan
perkhidmatan kewangan secara Islam, bersih daripada unsur-unsur riba’
dan unsur-unsur yang dilarang dalam Sistem Mu’amalat Islam. Kerajaan
telah menyediakan pilihan kepada umat Islam, untuk menggunakan
Perkhidmatan Sistem Kewangan Islam. Para ulama’ dan golongan pakar yang
telah dilantik dan terlibat secara langsung dalam mengawal perjalanan
Perbankkan Islam, supaya selari dengan Prinsip Syariah. Perbankkan Islam
di Malaysia, telah berkembang aktif dan meluas. Justeru, umat Islam di
Malaysia dengan mudah dapat menggunakan Perkhidmatan Kewangan Islam,
sama ada mereka tinggal di sebuah bandaraya yang besar atau pun di
sebuah pekan yang terpencil. OIeh itu, tidak ada sebab untuk umat Islam
menggunakan Perkhidmatan Pinjaman daripada Institusi Kewangan, yang
berteraskan riba’. Apatah lagi dengan Institusi Kewangan di pasaran
gelap seperti “Ah Long”, yang bukan sahaja mengenakan faedah atau bunga
yang tinggi, malah boleh mengancam nyawa mangsa yang tidak mampu
melunaskan hutangnya.
Kita bimbang dengan keadaan Kemelesetan Ekonomi Dunia, yang akan
menyebabkan keretakan institusi keluarga, meningkatnya jenayah,
bertambahnya kes bunuh diri, menjual maruah diri, penindasan, keruntuhan
moral dan sebagainya. Justeru, semua pihak diseru agar sentiasa
menyediakan perancangan kewangan yang mapan. Melalui perbelanjaan
berhemah dan menjauhi budaya berhutang dan riba’, bagi mengelakkan
kehancuran masa depan individu, masyarakat dan negara.
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin menyeru, marilah kita sama-sama
berusaha menjadikan Ajaran dan Nilai-nilai Islam sebagai Teras Ekonomi
Negara melalui langkah-langkah berikut :-
1. Bersama mendokong Produk Kewangan Islam yang sedang
dilaksanakan sekarang, di samping berusaha memartabatkan Sistem Ekonomi
Islam.
2. Bersama melemahkan produk-produk Sistem Kewangan Kapitalis yang
bertentangan dengan syariat Islam, khususnya kegiatan Ceti-ceti Haram yang sedang berleluasa di negara kita, dan
3. Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang keistimewaan Sistem Ekonomi Islam dan bahaya Sistem Ekonomi Barat.
Jalanilah hidup secara yang dituntut oIeh Islam, iaitu bersederhana
dan mengikut kemampuan diri, amalkan budaya rajin berusaha, kerana Allah
Subhanahu Wata’ala mengasihi mereka yang bekerja dengan tangan sendiri,
dalam mencari rezeki yang halal. Islam tidak menyekat umatnya mencari
kesenangan, asalkan ia dengan cara yang diredhai oIeh Allah Subhanahu
Wata’ala.
“Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka
(beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa
kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi
perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka
sentiasa berada dalam kebenaran”. (Al-Baqarah:186)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan