Selasa, 10 April 2012

20 AMALAN MURAH REZEKI
 
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Diantaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Isnin, 9 April 2012



Firman Allah SWT yang bermaksud : 

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya”.
 
(Surah Al-Baqarah: 261)

Khamis, 5 April 2012

Riba dan Kesannya Dalam Kehidupan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita memperkasakan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya, di dunia mahu pun di akhirat.

Pada hari ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk:
“Kecelakaan Riba’ dan kesannya dalam kehidupan”.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah ,
Ayat ke 130 dalam surah Ali ‘Imran yang dibacakan pada Awal khutbah  tadi membawa maksud:
“Wahai orang-orang yang beriman!, janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya” .
Takrif riba’ secara istilah bermaksud: “Penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oIeh pemberi  pinjaman atau dijanjikan oIeh penerima pinjaman. Manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan mata wang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza atau pun perbezaan waktu pertukaran.
Riba’ bukan sahaja dilarang dalam Islam, tetapi juga telah diharamkan di dalam agama-agama Samawi yang lain. Islam amat tegas menegah amalan riba’. Islam memandang riba’ sebagai amalan yang keji dan tergolong sebagai salah satu dosa besar. Islam menolak segala bentuk amalan riba’.  Justeru, Allah Subhanahu Wata’ala telah memberi peringatan kepada orang yang beriman, supaya menjauhi amalan riba’ dan seterusnya mengisytiharkan perang kepada pemakan riba’.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah itu 278 – 279 yang berbunyi:
“Wahai orang-orang yang beriman!, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan menjauhi saki-baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang )itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mahu melakukan (perintah mengenai larangan riba’ itu), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu (akibatnya kamu tidak akan selamat)”.
“Dan jika kamu bertaubat (menghentikannya), maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah modal pokok harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menganiaya (kepada sesiapa) dan kamu juga tidak teraniaya” .
Jika kita mengamati setiap Firman Allah yang terkandung dalam Al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah Subhanahu Wata’ala tidak pernah mengisytiharkan perang kepada seseorang melainkan hanya kepada pemakan-pemakan riba’. Cukuplah ayat tersebut menjadi bukti bahawa betapa dahsyatnya dosa riba’ di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Rasulullah  s.a.w.   dengan   tegaskan,  mengeji  amalan   berunsurkan   riba’.
Sebuah hadith daripada Saiyidina Jabir  Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud:
“Rasulullah s.a.w. melaknat pemakan riba’, wakilnya, penulisnya, dua orang saksinya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kesemua mereka itu sama sahaja” .
(Riwayat Muslim) .
Rasulullah s.a.w. dengan kerasnya mencela orang yang terlibat dengan amalan riba’. Mereka adalah golongan yang menekan dan menindas para peminjam. Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa buruknya kegiatan riba’ tersebut.
Sesetengah orang menyangka, bahawa harta yang haram itu adalah hasil daripada kerja mencuri atau merompak sahaja.  Mereka lupa bahawa harta yang dihasilkan daripada riba’ juga adalah haram. Lebih dahsyat lagi, apabila orang yang bergelumang dengan amalan riba’ menganggap jual beli  dan riba’ adalah sama sahaja.  Begitu juga, antara amalan “Perbankkan Konvensional” dengan amalan “Perbankkan Islam” mereka menganggap sama sahaja, sedangkan Allah Subhanahu Wata’ala hanya menghalalkan perniagaan, tetapi tidak menghalalkan riba’. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 275:
“Mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli  itu sama sahaja seperti riba’, pada hal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba’ ” .
Muslimin yang dirahmati Allah,
Umat Islam di Malaysia umumnya mengambil berat soal halal dan haram dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini prihatin terhadap pemakanan yang dimakannya agar tidak mengandungi elemen-elemen haram yang ditegah oIeh syarak dan menjejaskan keberkatan. Namun satu persoalan yang perlu diberi perhatian ialah apakah penglibatan itu memadai sekadar mengambil berat tentang barangan makanan bertanda halal, tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan perolehan yang haram?.  Sejauh manakah kesedaran persoalan halal dan haram ini turut dikaitkan dengan sumber pendapatan yang diperolehi?. Berdasarkan keadaan ini, mereka secara sengaja mengumpul pendapatan dan kekayaan daripada pelbagai aktiviti yang ditegah oIeh syarak seperti memakan riba’, menerima rasuah, pecah amanah, memeras-ugut, merompak, melacur, menjadi G.R.O. dan sebagainya.
Mereka juga tidak menitikberatkan ke mana wang mereka dibelanjakan seperti pinjaman perumahan, kereta dan pinjaman peribadi semuanya berkisar di dalam sistem yang berteraskan riba’. Bahkah ada di kalangan mereka yang pergi menunaikan ibadah haji dan ‘umrah menggunakan wang yang diperolehi daripada hasil riba’. Manakala bagi mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan pula, selalu menitikberatkan soal halal di dalam perniagaan yang ingin dilakukan, tetapi langsung tidak menghiraukan dari mana sumber modal yang ingin diperolehi sehingga sanggup membuat pinjaman yang berteraskan riba’. Begitu juga ada sebilangan dari mereka yang bersedekah dan mengeluarkan zakat juga menggunakan dari hasil riba’ yang mana pada hakikatnya, semua amal ibadah tersebut tidak diterima oIeh Allah Subhanahu Wata’ala.
Hadirin sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Orang yang terlibat dengan riba’ akan dicabut keberkatan dalam hidupnya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-Baqarah ayat 276 :
“Allah menghancurkan riba’ (dengan mengurangkan atau melenyapkan keberkatan-Nya) dan menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan mengembangkannya serta melipat-gandakan pahalanya).  Allah tidak menyukai setiap orang yang ingkar (yang menghalalkan riba’) lagi banyak melakukan dosa”.
Bagaimana memperolehi keberkatan dalam hidup, jika kehidupan berbaur dengan amalan riba’?. Apakah kita tidak terfikir, bahawa harta yang diperolehi daripada pendapatan yang haram seperti riba’, pasti tidak akan mendatangkan keberkatan?.
Selain itu, jika kita melihat dan merenung sedalam-dalamnya, kepada situasi dunia dan keadaan alam, yang sentiasa dihujani dengan pelbagai musibah dan bencana alam, memberi keyakinan kepada kita, bahawasanya, ini adalah merupakan peringatan Allah Subhanahu Wata’ala. Hukuman kealpaan dan kecuaian kita dalam melaksanakan perintah dan suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Renunglah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila riba’ dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung (negeri), maka sesungguhnya, mereka telah membenarkan mereka itu diazab oIeh Allah” .
(Riwayat Hakim dan Abu Ya’la) .
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menurut Syeikh Abdul Aziz, Asy-Syeikh Mufti Besar Arab Saudi menyatakan bahawa krisis kewangan sejagat yang dialami ketika ini, berpunca daripada sikap mengabaikan peraturan Allah dan membenarkan amalan riba’ yang diharamkan oIeh Islam. Dalam masa yang sama, masalah ini telah membuka mata masyarakat dunia, kepada potensi sebenar kejayaan Sistem Kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia, dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia, dalam menangani Kemelesetan Ekonomi.
Kini, adalah masa dan medan terbaik buat negara-negara Islam dan umatnya memperkukuh struktur dan produk Kewangan Islam serta mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utamaKaedah Pemulihan Ekonomi Dunia. Pertumbuhan sebanyak 15% setahun Sistem Perbankkan Islam, mencerminkan ia bakal menjadi peneraju Pasaran Kewangan Antarabangsa, dengan ciri-cirinya yang tersendiri, menyaingi Sistem Kewangan Barat.  Sistem Kewangan Islam bersifat lebih adil kepada pelabur dan pengusaha, di samping mampu melindungi sistem kewangan itu, daripada krisis kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang ini.
Pada hakikatnya, Sistem Kewangan Kapitalis, yang bertunjang dan berkiblatkan Sistem Amalan Riba’ sedang menuju kemelesetan dan pendukungnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah. Ianya membuka peluang kepada Sistem Kewangan Islam untuk diterjemahkan kepada masyarakat dunia. Ini kerana Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan tetap memerangi segala bentuk sistem atau struktur yang berteraskan riba’, yang memudharatkan kehidupan manusia.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Mimbar hari ini juga, ingin menarik perhatian para jamaah kepada satu kegiatan dalam Sistem Ekonomi Barat, yang bergerak dalam masyarakat hari ini, iaitu “Ceti Haram”. Ceti haram seperti Ah Long adalah agensi yang bergerak secara aktif, menipu dan memperdaya orang ramai dengan tawaran pinjaman, dengan mengenakan bunga yang berganda. Terdapat Ceti Haram yang telah menyalahgunakan Lesen Meminjam Wang dan kadar bayaran yang dikenakan kepada peminjam melebihi 18% setahun. Merujuk kepada Laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia terdapat 1,600 kes Ceti Haram direkodkan, dalam tempoh kurang dari dua tahun, di mana mereka memperolehi pendapatan sebanyak RM 12 juta sehari.
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di negara kita, banyak terdapat Institusi Kewangan yang menjalankan perkhidmatan kewangan secara Islam, bersih daripada unsur-unsur riba’ dan unsur-unsur yang dilarang dalam Sistem Mu’amalat Islam. Kerajaan telah menyediakan pilihan kepada umat Islam, untuk menggunakan Perkhidmatan Sistem Kewangan Islam. Para ulama’ dan golongan pakar yang telah dilantik dan terlibat secara langsung dalam mengawal perjalanan Perbankkan Islam, supaya selari dengan Prinsip Syariah. Perbankkan Islam di Malaysia, telah berkembang aktif dan meluas.  Justeru, umat Islam di Malaysia dengan mudah dapat menggunakan Perkhidmatan Kewangan Islam, sama ada mereka tinggal di sebuah bandaraya yang besar atau pun di sebuah pekan yang terpencil. OIeh itu, tidak ada sebab untuk umat Islam menggunakan Perkhidmatan Pinjaman daripada Institusi Kewangan, yang berteraskan riba’.  Apatah lagi dengan Institusi Kewangan di pasaran gelap seperti  “Ah Long”, yang bukan sahaja mengenakan faedah atau bunga yang tinggi, malah boleh mengancam nyawa mangsa yang tidak mampu melunaskan hutangnya.
Kita bimbang dengan keadaan Kemelesetan Ekonomi Dunia, yang akan menyebabkan keretakan institusi keluarga, meningkatnya jenayah, bertambahnya kes bunuh diri, menjual maruah diri, penindasan, keruntuhan moral dan sebagainya.  Justeru, semua pihak diseru agar sentiasa menyediakan perancangan kewangan yang mapan. Melalui perbelanjaan berhemah dan menjauhi budaya berhutang dan riba’, bagi mengelakkan kehancuran masa depan individu, masyarakat dan negara.
Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin menyeru, marilah kita sama-sama berusaha menjadikan Ajaran dan Nilai-nilai Islam sebagai Teras Ekonomi Negara melalui langkah-langkah berikut :-
1.       Bersama mendokong Produk Kewangan Islam yang sedang dilaksanakan sekarang, di samping berusaha memartabatkan Sistem Ekonomi Islam.
2.           Bersama melemahkan  produk-produk Sistem Kewangan Kapitalis yang
bertentangan dengan syariat Islam, khususnya kegiatan Ceti-ceti Haram yang sedang berleluasa di negara kita, dan
3.           Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang keistimewaan Sistem Ekonomi Islam dan bahaya Sistem Ekonomi Barat.
Jalanilah hidup secara yang dituntut oIeh Islam, iaitu bersederhana dan mengikut kemampuan diri, amalkan budaya rajin berusaha, kerana Allah Subhanahu Wata’ala mengasihi mereka yang bekerja dengan tangan sendiri, dalam mencari rezeki yang halal. Islam tidak menyekat umatnya mencari kesenangan, asalkan ia dengan cara yang diredhai oIeh Allah Subhanahu Wata’ala.
“Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran”. (Al-Baqarah:186)

Selasa, 3 April 2012


Maaf saya mencelah...mungkin agak panjang lebar

Sebenarnya persoalan kita adalah diantara TAKAFUL VS CONVENTIONAL INSURANCE tak kisahlah insurans nyawa (life insurance/family takaful) atau General Insurance (Insurans Am/Takaful Am)

Perbezaan UTAMA diantara TAKAFUL dan INSURANS Konvensional adalah dari segi konsep dimana sumbangan/premium didalam TAKAFUL adalah berkonsepkan 'Tabaruat' - iaitu DERMA BERSYARAT manakala konvensional pula 'JUAL DAN MEMBELI Premium'

Menurut Muamalat Islam - untuk 'jual-beli' ia mestilah mempunyai cukup syarat - diantaranya ada aqad,masa,tempat dan sahih bendanya - didalam Konvensional yang jadi barang dagangan adalah 'RISIKO' iaitu sesuatu yang tidak dapat dinilai samada dari segi kos, masa atau bentuk - jika 'jual-beli' ini berlaku, ia telah mengujudkan suatu keadaan 'gharar' - iaitu sesuatu yang 'samar2 - yang disembunyikan oleh sesuatu pihak' yang mana jika berlaku kejadian ini- satu pihak akan mendapat untung dan satu pihak lagi akan mendapat rugi..hal ini selanjutnya menimbulkan 'JUDI' iaitu dari segi transaksi insurans ini - jika musibah berlaku, maka pemegang polisi akan untung dan syarikat yg rugi dan begitulah sebaliknya jika tiada musibah berlaku, syarikat yang untung dan peserta yang rugi. RIBA (Ia boleh ditafsir dari banyak segi - tidak hanya pada interest yg kita faham) pula ujud dari segi MASA DAN JUMLAH - kita tak tahu bila kejadian musibah akan berlaku and how much musibah itu, jadi adakah patut dengan membayar premium RM100 sebulan then next month pembayar meninggal maka waris akan mendapat RM40,000 ?

sebaliknya melalui konsep 'Tabruat - derma bersyarat' para peserta bersetuju untuk membuat suatu sumbangan/derma (jumlah sumbangan/derma adalah berdasarkan syarat iaitu risiko, tempoh dan manfaat yang diperlukan oleh peserta)   kedalam satu tabung dimana jika peserta yang terlibat ditimpa musibah, maka wang hasil sumbangan para peserta yang ramai ini digunakan untuk membantu peserta yang malang tadi - Disini TIADA konsep jual beli (lantas menghapuskan muamalat jual beli,  gharar , judi dan riba) sebaliknya yang ujud adalah perasaan ukhwah/setiakawan dan saling bantu sesama peserta yang amat dituntut oleh ISLAM.  Disini pengendali tabung pula adalah syarikat Takaful - tak kisahlah TAKAFUL NASIONAL, Malaysia, MAA dsbnya

Untuk lebih faham..

A) TAKAFUL KELUARGA VS LIFE INSURANCE

Bayangkan di scenerio diatas - seorang pembeli insuran konvensional membeli satu polisi berharga RM40,000 dengan sumbangan premium RM100 sebulan - then next 3 months beliau meninggal - disini ujud kerugian kepada syarikat sbb baru dapat RM300 dah kena bayar RM40,000 - lantas ini mengujudkan perasaan tidak puas hati kpd syarikat manakala  waris pembeli pula akan dikira 'happy' - then adakah wajar RM300 VS RM40,000 ? inilah yang dikatakan ujud Qharar, riba dan judi yang DITEGAH oleh Islam

Jika di TAKAFUL.baru sumbang RM300 then waris dah dapat RM40,000 - tiada siapa rasa yang rugi.. syarikat rugi? TIDAK sebab ia hanya pengendali tabung yang diberi amanah oleh para peserta yang ramai..sebaliknya para peserta lain yang 'menderma' tadi akan berasa - 'SYUKUR ALHAMDULILAH' sebab telah memberi bantuan kepada peserta yang malang - inilah ujudnya perasaan ukwah dan saling bantu sesama peserta dan pastinya setiap sumbangan tadi akan menjadi amal jariah yang berkekalan selagi mana ujud institusi TAKAFUL tadi.(boleh bawa ke Kubur amal jariah ini !)

B) TAKAFUL AM VS GENERAL INSURANCE

Same juga ..let say ambil polisi untuk cover insurans kereta..ambil dari konvensional,,itu dikira membeli premium dari syarikat insurans, then kalu ambil dari Syarikat Takaful..kira membuat sumbangan derma kedalam tabung yang mengendalikan musibah kenderan/motor

then berlaku tuntutan...Syarikat konvensional akan rasa..ala rugilah kita, sbb u bayar RM1000 kita kena bayar repair RM20,000 (Judi, gharar, riba) tapi dalam takaful..Syarikat pengendali akan keluarkan daripada tabung dan bantu kurangkan musibah peserta, everybody..para peserta dan pengendali akan happy..peserta lain dapat amal jariah sebab bantu peserta malang tadi...yang bestnya kalau tiada tuntutan..akan dapat pulangan mudahrabah (Konsi untung) disamping NCD



- Kalu nak cerita panjang lagi nih.... termasukklah dari segi riba kalau tak bayar premium, pelaburan tak kisah asal untung then kalau ambil wang kita, kita dikira ambil loan (laa inikan duit kita! ambil duit sendiri pun kena interst!)..kena bayar loan, interest and premium, then pulangan yang 'DIJAMIN - 4 %' Setahun dll

berbanding TAKAFUL..kalau tak bayar there is no interest, wang dalam tabung peserta boleh ambil jika perlu tanpa adanya konsep 'loan dan interest' - pelaburan ada majlis syariah, keuntungan adalah berdasarkan konsep mudharabah..dimana jika untung banyak, peserta akan dapat banyak dan sebaliknyal

Secara ringkasnya...mengapa kerajaan ujudkan 2 jenis TAKAFUL dan CONVENTIONAL..pasti ada bezanya. Alhamdulilah kita dah ada pilihan..fikir, belajar dan tanya iman!

To make it short...Tak kisah samada ianya insuran hayat atau am..PASTIKAN IANYA TAKAFUL..Takbir! Allahuakbar

Oh yaaa..bagi menjawap soalan

"Apa pula penjelas mengenai insyurans syarikat lain (selain Sykt Takaful Nasional or Malaysia) jika mereka mendakwa bahawa mereka juga menawarkan pakej Islamik iaitu mengikut cara takaful? Sebab banyak produk2 Islamik yang juga di tawarkan oleh macam2 agensi insyurans"

Ikut cara takaful? ia tidak lengkap..ia mestilah beroperasi berdasarkan konsep TAKAFUL dan mendapat lesen TAKAFUL..kalu ini ada, maka ianya insyaAllah boleh disertai..tapi ingat setakat ini hanya ada beberapa buah syarikat Insurans sahaja yang mendapat lesen takaful..kebanyakan syarikat yang baru ini masih tiada produk takaful, jika ada hanyalah merujuk kepada produk Takaful AM aiatau MRTA. PA dan FIRE..tidak Takaful Keluarga..

Cuba beri mereka soalan ini..
1.katalah kalau sumbangan/premium saya lapse..adakah saya kena bayar interest ?
2. Kalau nak ambil wang dalam akaun peserta adakah ia dikira loan yang perlu saya bayar semula beserta faedahnya sekali?
3. Dari segi pembahagian keuntungan ? adakah ianya  DIJAMIN dengan satu kadar yang tetap ?

Jika YA..ia TIDAK  produk takaful walaupun nama produk tu bunyi ala-ala arab



Perlukah kita menyertai Perlindungan Kewangan Takaful Ikhlas?

Perlukah kita menyertai Perlindungan Kewangan Takaful Ikhlas?


Secara amnya perlindungan Takaful adalah skim perlindungan kewangan secara Islam iaitu merupakan satu kaedah persiapan atau ikhtiar/usaha untuk menghadapi atau melindungi sebarang ketidakpastian yang mungkin berlaku keatas diri sendiri, ahli keluarga atau harta benda daripada sebarang musibah atau malapetaka di masa-masa akan datang. Selagi umat manusia terdedah terhadap ketidakpastian dan risiko selagi itulah perlindungan kewangan Takaful itu amat diperlukan sebagai satu ikhtiar/usaha terlebih dahulu sebelum seseorang itu terus bertawakkal kepada Allah s.w.t. semata-mata.
Persiapan untuk mengharungi sebarang ketidakpastian atau ujian-ujian dari Allah s.w.t. itu, contohnya seperti kematian, hilang-upaya kekal, penyakit kritikal, kemalangan dan sebagainya, bukanlah satu usaha yang ingin melawan takdir Allah s.w.t. yang diperkatakan oleh segelintir ahli masyarakat. Ini merupakan satu pandangan yang dangkal dari orang-orang yang jahil tentang agama Islam.Dalil yang mewajibkan seseorang itu mesti berusaha terlebih dahulu sebelum bertawakkal kepada Allah semata-mata adalah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. terhadap seorang arab badui yang meninggalkan untanya tanpa diikat tali terlebih dahulu dan lalu berserah kepada Allah s.w.t. semata-mata, yang bermaksud: "Ikatlah tali unta kamu dahulu dan kemudian barulah berserah kepada Allah s.w.t." (Riwayat: At-Turmuzi)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tinggalkan anak dan isteri kamu dengan kesenangan adalah lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta”. (Riwayat: Bukhari)

Dalam satu hadis lain Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemikul tanggung-jawab dan setiap daripada kamu bertanggung-jawab terhadap mereka dibawah tanggungan kamu.” (Riwayat: Bukhari dan Muslim)

Selasa, 27 Mac 2012

Saya Tahu Insurans dan Riba Itu Haram, Tetapi…

(Artikel ini turut disiarkan di MajalahNiaga.com

Beliau mengangguk-angguk tanda setuju dengan penjelasan saya tentang perbezaan di antara insurans konvensional dengan takaful.
Tatkala saya menerangkan tentang perbezaan kontrak insurans konvensional yang menggunakan kontrak jual beli, dan kontrak takaful yang menggunakan kontrak derma, beliau bertanya beberapa soalan untuk penjelasan.
Dari bahasa badannya, nampak beliau begitu bersungguh-sungguh inginkan penjelasan tentang perkara tersebut. Ternyata soalan-soalan yang beliau kemukakan menunjukkan kematangannya berfikir, sesuai dengan statusnya sebagai seorang bisnesman.
“Ya Encik Afyan, saya pun pernah membaca tentang perkara ini”, kata beliau merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang hukum insurans konvensional.
Nampaknya sebelum menemui saya, beliau sudah pun membuat sedikit kajian dan pembacaan. Ia memudahkan kerja saya untuk menerangkan perkara tersebut. Tambahan lagi, kafeteria tempat kami bertemu tidak ramai pelanggan mengunjunginya memudahkan saya membuat penerangan dengan jelas.
“Ada sebarang persoalan yang Tuan ingin tanyakan lagi?”, saya bertanya kepada beliau selepas penjelasan terakhir tentang perkara ini.
“Setakat ini tiada”, kata beliau sambil menyandarkan badan ke kerusi.
“Jika begitu, kita boleh berpindah ke topik seterusnya iaitu keperluan kewangan Tuan sebelum saya cadangkan mana-mana produk takaful yang sesuai”, kata saya.
“Sebenarnya saya sudah memiliki beberapa polisi sebelum ini”, kata beliau.
“Alhamdulillah, suka saya mendengarnya kerana Tuan sudah mengambil keputusan yang bijak untuk masa hadapan Tuan”, balas saya, menyanjungi kesedarannya untuk memiliki plan perlindungan kewangan.
“Tetapi…”, beliau membiarkan ayatnya tergantung.

Ingin Berhijrah, Tetapi…
Saya diam seketika memberi peluang beliau menghabiskan kata-kata.
Saya cuba meneka. Mungkin dia tidak berpuas hati dengan polisi sedia ada, atau beliau hanya ingin berjumpa saya sekadar ingin mengetahui perbezaan antara takaful dengan insurans konvensional, kerana beliau mengetahui saya selepas membaca blog saya tentang isu ini.
“Sebenarnya, saya sudah melanggan dengan insurans konvensional”, kata beliau agak perlahan.
“Oh, begitu rupanya”, kata saya di dalam hati. Agak jauh dari tekaan saya sebelum ini.
“Saya sudah mengambil polisi insurans konvensioanal kira-kira sepuluh tahun lalu ketika baru berkahwin. Ketika itu saya tidak tahu insurans konvensional ini haram hukumnya. Dan saya pun baru tahu dalam setahun dua ini bahawa insurans konvensional ini haram”, jelas beliau panjang lebar.
“Alhamdulillah, selain daripada mempunyai kesedaran untuk memiliki perlindungan kewangan, Tuan juga mempunyai kesedaran tentang aspek halal haram. Tahniah saya ucapkan”, tambah saya lagi, menyanjung tinggi kesedaran beliau. Kali kedua saya ucapkan tahniah kepada beliau.
Tetapi, kalau saya batalkan polisi insurans konvensional saya, saya akan rugi”, kata beliau lagi.
Saya diam sebentar.
Saya dapat meneka apa yang bermain di benak fikirannya; beliau bercadang untuk berpindah kepada takaful tapi beliau memikirkan kerugian yang beliau akan alami sekiranya membatalkan polisi insurans konvensional sedia ada.
“Tuan, menjadi tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan berhijrah daripada insurans konvensional kepada takaful yang bebas daripada riba, sebagaimana yang saya kongsikan di awal tadi tentang bahaya riba. Jika Tuan sudah mengambil pelan perlindungan takaful dari syarikat lain, saya tidak akan menasihat Tuan untuk batalkan polisi-polisi Tuan”, jelas saya panjang lebar.
Kemudian, saya menyambung lagi, “Tetapi memandangkan Tuan mengambil pelan insurans konvensional, maka adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya untuk mengajak Tuan keluar daripada sistem kewangan riba dan berhijrah kepada sistem takaful”.

Untung Rugi Berpindah-pindah Polisi
Beliau mengangguk-angguk perlahan sambil berkata “Ya Encik Afyan, saya tahu bahawa insurans konvensional adalah riba dan riba itu haram hukumnya, tetapi saya akan rugi banyak jika saya membatalkan polisi yang sudah saya langgan lebih 10 tahun ini”.
Saya tersenyum, apa yang diperkatakannya benar. Membatalkan polisi lama yang sudah diambil bertahun-tahun semata-mata untuk mengambil polisi baru bukanlah satu tindakan bijak.
Malah, adalah satu perbuatan yang tidak beretika mana-mana ejen insurans atau takaful yang menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada dengan tujuan supaya pelanggan mengambil polisi baru dengannya.
Sebagai perunding kewangan dan takaful, menjadi prinsip saya untuk menasihati pelanggan untuk kekalkan polisi sedia ada kerana membatalkan polisi sedia ada yang lama, dan melanggan polisi baru akan melibatkan kos dan kerugian tertentu yang terpaksa ditanggung oleh pelanggan atas dua faktor, iaitu;
  • Umur; usia pelanggan semakin hari semakin meningkat, justeru kos untuk melanggan polisi baru hari ini secara logiknya akan lebih tinggi berbanding polisi yang sama tahun lalu atas faktor umur, dan
  • Kesihatan; kesihatan pelanggan hari ini tentu tidak sama ketika beliau melanggan polisi lama dahulu. Situasi akan lebih teruk untuk melanggan polisi baru jika beliau pernah membuat tuntutan.
Atas kedua-dua faktor ini, berpindah daripada polisi lama kepada polisi baru lebih banyak merugikan pelanggan. Tetapi yang paling untung dalam situasi ini adalah ejen.
Itu sebabnya, adalah sesuatu yang tidak beretika bagi mana-mana ejen atau wakil takaful menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada, kerana ia hanya menguntungkan ejen, bukan pelanggan.
Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir ejen yang tidak beretika yang mengamalkan cara ini untuk memperbanyakkan bisnes mereka. Tetapi selalunya mereka tidak kekal lama dalam industri.
Namun yang menyedihkan, perbuatan mereka sedikit sebanyak merosakkan industri. Bak kata Karam Singh Waliya; Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Atas dasar prinsip, ejen-ejen yang beretika tidak sekali-kali menasihati pelanggan untuk membatalkan polisi sedia ada hanya semata untuk bisnes. Pengalaman saya, selalunya saya akan mencadangkan untuk menambah jumlah perlindungan yang baru bersesuaian dengan keperluan kewangan semasa.
Contohnya polisi lama yang diambilnya dahulu adalah ketika bujang, mungkin bersesuaian ketika polisi tersebut dilanggan. Namun sekarang prospek sudah berkahwin dan beranak pinak sudah tentu keperluan perlindungan kewangannya bertambah berbanding dahulu.
Namun, dalam situasi ini, pelanggan yang ditemui sudah pun lama menjadi pelanggan insurans konvensional.
Jadi, juga atas dasar prinsip yang lebih utama iaitu prinsip Islam yang saya pegang, saya akan menasihati pelanggan untuk berhijrah daripada institusi riba kepada alternatif yang bebas riba dan patuh syariah.
Ya, atas dasar prinsip juga kerana insurans konvensional adalah instrumen riba, justeru itu adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan bahawa insurans yang dilanggan selama ini adalah riba dan alternatifnya adalah takaful.
Kemudian, keputusan terletak di tangan pelanggan untuk membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya, di dunia dan akhirat.
“Berapa caruman yang Tuan ambil dengan insurans sebelum ini?”, tanya saya.
“Saya mengambil tiga polisi untuk saya dan anak sulung saya, jumlahnya dalam RM500 sebulan. Saya ambil pada tahun 1999, ketika awal perkahwinan dan setahun kemudian selepas mendapat anak sulung”, jawab beliau sambil menghulurkan satu fail yang terisi polisi-polisi insurannya.
Saya mencongak-congak jumlah caruman yang sudah beliau bayar selama ini. Sebulan RM500 maka setahun RM6,000. Congakan awal saya, polisi-polisi tersebut sudah lebih 10 tahun maka sekurang-kurangnya sudah RM60,000 yang sudah dibayar selama ini.
Ia satu jumlah yang besar. Jadi tidak hairanlah beliau agak ralat untuk membatalkan polisi sedia ada dan berhijrah kepada takaful.
Sambil membelek polisi-polisi insurannya, beliau berkata kepada saya “Encik Afyan, saya sudah pun membuat kiraan sebelum saya bertemu dengan Encik. Jumlah caruman yang saya bayar untuk kesemua polisi adalah RM524.40 sebulan dan jumlah keseluruhan yang saya bayar berjumlah RM71,463.96. Dan saya sudah pun hubungi syarikat berkenaan, nilai tunai insurans saya adalah RM34,356.14. Rugi kalau saya batalkan sekarang”.
Perkataan “rugi” diulang lagi, kali ini dengan lebih ditekankan. Sambil itu beliau menunjukkan satu kertas yang bertulisan tangan tertulis jumlah-jumlah yang disebutkannya tadi.
Saya tersenyum, sambil mempelawa beliau minum minuman yang kami pesan di awal pertemuan tadi, “Minum dulu Tuan, nanti sejuk pula”.
Beliau turut tersenyum, sambil menyedut air minumannya.
Sambil minum, sempat beliau berkata “Jika saya batalkan, saya rugi 50% daripada jumlah caruman yang saya sudah bayar, kira-kira RM40,000. Memang rugi.”
Nampak semacam beliau cuba menguji saya. Suasana hening seketika.

Sanggup Untuk Teruskan?
Saya turut minum sambil saya bertanya kepadanya, “Tuan, bagaimana kalau saya katakan yang air yang kita minum ini sebenarnya tersalah pesan?”.
“Maksud En Afyan?”, tanya beliau, keliru tiba-tiba saya berubah topik.
“Maksud saya, andai kata tiba-tiba datang pelayan restoran ini kepada kita, dan memaklumkan air yang kita minum ini sebenarnya dipesan ini adalah air minuman beralkohol, tapi kita tidak perasan dalam menunya tadi”, kata saya.
“Isshhhh…. saya akan muntahkan balik apa yang saya minum dan minta air baru”, balasnya sambil ketawa kecil.
“Tuan tidak berasa rugi?”, tanya saya, menguji.
“Tidaklah. Apalah sangat rugi sedikit berbanding minuman haram masuk ke perut kita ini”, balasnya tegas, sambill mencebikkan bibir tanda jijik dengan air syaitan itu.
“Eh, mahal ni Tuan”, kata saya merujuk kepada harga air minuman kafeteria hotel ekslusif yang kami bertemu sekarang. Memang harganya sedikit mahal berbanding restoran-restoran biasa.
“Tidak kisahlah. Saya boleh bayar apa yang sudah dipesan dan kita pesan air minuman baru. Jangan risau Encik Afyan, hari ini saya belanja Encik Afyan”, balas beliau.
“Begitulah juga dengan insurans konvensional yang Tuan langgan selama ini”, balas saya, agak tajam.
Beliau terdiam. Nampak agak tersentak berdasarkan kerutan keningnya yang tajam memerhatikan saya.
“Apalah sangat rugi sedikit berbanding dosa riba dan hukuman riba di akhirat kelak”, saya menyambung lagi, kali ini menggunakan ayat-ayat yang beliau gunakan tadi dengan sedikit olahan.
Beliau masih terdiam. Nampak ingin berkata sesuatu tapi tidak terkeluar.
“Malah Tuan, balasan dosa riba lebih teruk berbanding dosa minum arak”, tegas saya merujuk kepada penerangan awal saya berkenaan dosa-dosa riba yang Allah mengisytihar perang terhadap pelaku riba.
“Begini Tuan, saya tidak nafikan bahawa dalam situasi Tuan sudah tentu Tuan memikirkan kerugian yang bakal Tuan tanggung sekiranya Tuan membatalkan polisi sedia ada dan melanggan polisi baru. Namun, memandangkan polisi yang Tuan langgan selama ini adalah polisi riba, dan Tuan sudah pun sedia maklum tentang hukum-hakam riba, maka sudah tibalah masanya untuk Tuan berhijrah. Insya-Allah, apabila Tuan berhijrah kelak, nescaya Allah akan bersama-sama Tuan dengan keputusan yang Tuan lakukan”.
Beliau masih diam. Berfikir barangkali. Keningnya masih berkerut seperti tadi.
“Sebagaimana air yang kita tersalah pesan tadi, kita tidak terasa rugi sekalipun membayar ekstra dua harga untuk satu gelas yang kita patut minum dan satu gelas yang kita tersalah pesan, dan hanya satu sahaja yang kita akan minum sebenarnya”, sambung saya lagi, kali ini menggunakan perkataan ‘kita’ sebagai kata ganti diri pertama.
“Tuan, saya ada satu cara untuk mengurangkan kerugian yang Tuan alami. Caranya adalah dengan memindahkan nilai tunai polisi lama Tuan ke polisi baru yang akan Tuan langgan nanti. Dengan cara ini, sekalipun polisi baru Tuan baru sahaja sebulan, tetapi nilai tunainya sama dengan polisi lama Tuan yang sudah lebih 10 tahun”, saya memberikan cadangan.
Nampak sedikit sinar di wajahnya, lantas berkata “Oh, begitukah?”

Mari Berhijrah! Hapuskan Riba
Beliau menyambung lagi “Sebenarnya saya sudah lama memikirkan alternatif terbaik untuk menggantikan polisi insurans saya ini selepas mengetahui tentang hukum haramnya kira-kira dua tahun lalu. Namun, selama ini saya buntu memikirkan kerugian yang bakal saya alami jika membatalkan insurans tersebut”.
“Alhamdulillah, hari ini saya sudah nampak jalannya”.
Beliau nampak begitu ceria sekali.
Seterusnya saya mencadangkan agar beliau tidak terus membatalkan polisi insurans konvensionalnya selagi mana polisi takafulnya berkuatkuasa sepenuhnya. Ini kerana setiap polisi baru akan mempunyai tempoh menunggu sebulan sehingga tiga bulan bagi memastikan perlindungan-perlindungan untuk kematian, lumpuh, serta sakit kritikal berkuatkuasa sepenuhnya.
Tempoh menunggu ini ada kaitan dengan tahap kesihatan peserta.
Jika polisi lamanya terus sahaja dibatalkan sebelum polisi baru berkuatkuasa sepenuhnya, risiko kepada pelanggan seandainya ditimpa musibah pada waktu itu. Jika ia berlaku, maka tiada perlindungan kewangan diberi dan saya adalah orang yang paling terkilan seandainya ia berlaku kepada pelanggan saya.
Justeru itu, saya mengesyorkan agar polisi lama dibatalkan hanya selepas polisi takaful yang baru dilanggan melepasi tempoh menunggu yang selalunya mengambil masa 90 hari atau 3 bulan. Sebaiknya selepas setahun untuk memastikan keadaan kesihatan peserta benar-benar sihat.
“Alhamdulillah, tahniah kerana Tuan berani mengambil keputusan untuk BERHIJRAH!”, kata saya. Kali ketiga saya ucapkan tahniah, dan yang paling bermakna kerana dalam masa sama saya bersyukur kerana menyelamatkan seorang lagi muslim daripada bahaya dan bahana riba.
Oh, bukan seorang, termasuk juga anaknya